Search This Blog

Saturday, 2 February 2013

“Erti Sebuah Pengorbanan"



Adik bangun pagi.Adik kesat mata.Walid yang kejutkan adik.Adik ngantuk sangat.Adik tarik selimut balik.Tidur semula.Walid geleng kepala bila nampak adik tidur balik.Walid tepuk belakang adik suruh adik mandi.Lepas mandi, adik pakai baju baru.Ummi kata hari ini Hari Raya Aidilfitri.Semua orang pakai baju baru.Tadi adik tengok Ummi pakai baju buruk, Walid pun pakai baju buruk.Ummi cuma senyum bila adik mengajukan soalan itu.Ummi kata cukuplah adik seorang yang pakai baju baru.
Walid pimpin tangan adik pergi masjid.Kami jalan kaki melalui denai-denai kecil.Sepanjang jalan, adik dengar takbir raya. ALLAHU AKBAR, ALLAHU AKBAR, LA ILAHAILLA ‘I-LLAHU  ALLAHU AKBAR WA’L-LAHU AKBAR WALILLAHI’LHAM. Adik khusyuk dengar.Merdu.Adik angkat tangan ke telinga, lagak seperti bilal masjid sambil menjerit takbir raya.Walid cuma ketawa kecil melihat gelagat adik.Di persimpangan jalan, kami bertemu dengan Pak Cik Nasir, jiran adik.Adik pandang Walid.Walid ralit berbual dengan Pak Cik Nasir.Adik dengar Walid berbual tentang syahid, Yassier Arafat dan lain-lain lagi. Nama Negara adik pun Walid sebut, Palestin. Tapi adik tidak faham.Adik cuma mendengar saja.
Adik tiba di perkarangan masjid.Masjid itu besar, tersergam indah.Masjid kebanggaan negara adik, Masjidil Aqsa.Walid pernah beritahu adik, Masjidil Aqsa kiblat pertama sebelum Ka’abah di Mekah.Masjidil Aqsa juga salah satu tempat suci dalam Islam.Nabi Muhammad pun mengalami peristiwa Isra’ Mikraj di masjid ini.Adik buka kasut dan masuk ke perut masjid.Adik lihat ramai orang.Semuanya duduk dalam saf.Walid tarik adik duduk di penjuru masjid, kemudian Walid solat tahiyatul masjid.Adik ikut Walid solat raya.Adik berdiri betul-betul dekat dengan Walid.Adik pandang Walid.Bila Walid angkat takbiratul ihram adik pun angkat.Mulut Walid terkumat-kumit membaca sesuatu. Adik pun ikut samawalaupun adik tidak tahu apa yang adik baca. Walid rukuk, adik rukuk.Walid sujud, adik sujud.
     Adik membilang anak tangga selepas selesai solat raya dan bersalam-salaman dengan jemaah yang lain. Walid ada di belakang adik.Suasana ketika itu tenang dan damai.Adik suka ketenangan.Adik tarik nafas, hirup dalam-dalam udara pagi.Tiba-tiba ketenangan itu diragut.Adik nampak ramai orang bertempiaran lari.Adik juga nampak sekumpulan askar yang memegang senjata sedang mara menuju ke arah masjid.Adik dengar bunyi kuat.Bunyi tembakan.Walid dukung adik erat sambil melaungkan takbir.Adik takut.Adik pejam mata.Kaki Walid yang kuat berlari tiba-tiba terhenti.Pautan tangan Walid longgar dan akhirnya terlerai.Adik rasa seperti sekujur tubuh tumbang dan menghenyak adik.Adik pandang belakang.Mata adik terbeliak.Adik nampak tubuh Walid.Kepala Walid berdarah. Adik menjerit nama Walid. Manik-manik jernih mula gugur satu-persatu dari kelopak mata adik.Walid pandang adik.Walid cium pipi adik.Walid suruh adik lari.Adik geleng kepala.Adik pegang tangan Walid.Adik hendak duduk di sisi Walid.Walid senyum pada adik.Walid tidak bergerak.Walid kaku.“Waliiiiiiiiiiiiiiiiiid!!!”
Adik kesat air mata.Adik lari kuat-kuat.Adik lari tidak pandang kiri dan kanan.Sampai di rumah adik terus menangis.Ummi hairan tengok adik. Adik sebut nama Walid berkali-kali. Mayat Walid dihantar ke rumah tidak lama selepas itu.Adik masih menangis.Adik tengok Ummi cium dahi Walid.Ummi peluk adik. Beberapa orang jiran cuba tenangkan Ummi. Abang yang duduk di penjuru dinding juga menangis.Abang dah besar.Umur abang dah enam belas tahun.Abang pergi dekat Walid, abang peluk dan cium Walid.Selepas sembahyang adik nampak orang angkat Walid keluar rumah. Abang pun ikut sama. Adik tidak ikut.Adik duduk rumah dengan Ummi. Adik tanya Ummi, mana perginya Walid. Ummi diam. Adik tanya lagi sambil menongkat dagu menunggu jawapan daripada mulut Ummi. Ummi pandang adik.Ummi kata Walid pergi ke satu tempat yang sangat cantik. Walid pergi tidak akan kembali lagi. Adik cuma mengangguk.
“Adik nak ikut Walid”.Ummi geleng kepala dan peluk adik. Adik lap air mata di pipi Ummi. Adik senyum, Ummi pun senyum.Petang itu ramai kawan abang datang.Abang ajak mereka ke belakang.Abang tekun membuat sesuatu.Sesuatu yang menyerupai senapang.Adik cuma duduk diam dan tengok.Kawan-kawan abang pun khusuk membuat kerja.Adik menguap berkali-kali.Bosan duduk diam tanpa membuat sebarang kerja.Tidak keruan adik dibuatnya.Mata adik meliar mencari barang permainan.Adik nampak benda bulat seperti bola. Adik pergi dekat cuba mencapai benda itu. Adik pegang dan belek.Sedang adik seronok main, abang rampas “bola” adik.Adik masam.Adik tarik muncung empat belas.Adik marah pada abang.Abang tersenyum melihat tingkah laku adik.Dengan lembut, abang mencubit pipi gebu adik.Abang beritahu adik yang benda itu bom tangan.Bukannya bola seperti yang adik sangka.Adik diam. Kemudian berlari mendapatkan Ummi.Adik merajuk.
Adik bangun awal pagi itu. Tidak seperti hari yang lain, Walid tidak ada untuk kejutkan adik. Apabila teringat Walid, mata adik mula berair.Tapi adik tidak mahu menangis.Adik orang lelaki.Orang lelaki tidak boleh menangis.Orang lelaki kena kuat dan tabah.Adik nampak abang sedang bersiap-siap. Abang galas beg besar. Semua benda yang abang buat semalam abang bawa. Kawan-kawan abang semuanya sedang menunggu di depan rumah. Abang cium tangan Ummi, minta izin untuk pergi.Ummi peluk abang, cium abang berkali-kali.Adik cuma memandang dengan mata terkebil-kebil.Adik garu kepala adik yang tidak gatal.Abang datang dekat adik.Abang dukung adik.Usap kepala adik.“Adik jaga Ummi ya”, pesan abang. “Abang nak pergi mana?” Tanya adik seperi orang bodoh.“Abang nak pergi berjuang”.Abang mengukir senyuman mengakhiri bicara.Kelibat abang hilang ditelan kabus pagi.Hanya lambaian tangan adik mengiringi pemergian abang.Lepas abang pergi, Ummi cerita macam-macam perkara pada adik.Pasal Yahudi, Israel, syurga, jihad dan banyak lagi.Semuanya adik tidak faham.“Isra….Israfil”, terkial-kial adik menyebut perkataan itu dalam pelat yang pekat. “Bukan Israfil, Israfilkan nama malaikat yang tiup sangkakala. Israel la adik. “Is…ra…el,” akhirnya adik berjaya menyebutnya juga. Ummi ketawa kecil.Adik ikut ketawa menampakkan sebaris gigi adik yang rongak.Ummi kata Yahudi jahat.Yahudi musuh umat Islam.Yahudi juga musuh Allah.Yahudi yang mencetuskan peperangan di bumi Palestin.Yahudi yang bunuh Walid.Adik benci Yahudi.Adik benci sesiapa yang menjadi musuh Allah.
Adik lari keluar rumah.Adik pergi ke jalan besar.Ramai kawan-kawan sebaya adik di situ.Mereka semua baling batu kepada sekumpulan tentera yang bersenjata di seberang jalan.Adik ingat lagi, tentera itulah yang membunuh Walid. Merekalah Yahudi. Adik marah.Adik geram.Adik capai batu.Adik baling kuat-kuat.Adik pejam mata.Terbayang di kepala adik peristiwa yang menimpa Walid. Adik sertai kawan-kawan adik yang lain membaling batu. Kadang-kadang kami lari apabila tentera itu menyerang balas.Ada juga kawan-kawan adik yang kena tembak.Tumbang satu persatu.Adik nampak baju mereka merah berlumuran darah.Adik lari menyorok di sebalik bangunan usang untuk menyelamatkan diri.Adik lari bersama seorang kawan adik.Namanya Jamal. Dia juga sama dengan adik. Walidnya juga pergi ke suatu tempat yang sangat cantik dan tidak akan kembali lagi. Apabila keadaan semakin reda, adik pulang ke rumah.Adik berjanji dengan Jamal untuk melontar batu lagi pada keesokan harinya.
Malam itu adik duduk bersila di hadapan Ummi sambil tangan memegang al-Quran.Adik ikat serban ikut suka hati adik.Sekejap adik lilit ke kiri, sekejap ke kanan.Kadang-kadang serban itu tutup mata adik.Adik kuak sedikit serban ke atas ketika hendak membaca al-Quran.Adik baca dengan bersungguh-sungguh. Ummi duduk depan adik sambil memerhati bacaan adik. Adik hendak jadi macam abang.Umur enam tahun sudah khatam al-Quran.Adik baru umur tiga tahun.Adik kena rajin kalau hendak khatam cepat. Bacaan adik terhenti apabila pintu diketuk dan nama Ummi dilaung-laungkan dari luar. “Syukur ya Nur, anakmu Yassin mati syahid”. Muncul Mak Cik Huda di depan rumah. “Anakmu, anakmu adalah salah seorang pengebom berani mati ya Nur.Tindakannya menyebabkan tujuh orang askar Israel terbunuh.Yassin dan tiga orang lagi kawannya mati syahid.Semoga syurga menanti mereka kelak,” terang Mak Cik Huda panjang lebar.
     Ummi panjatkan doa pada Allah semoga roh abang ditempatkan dalam golongan orang-orang yang beriman. Adik kaget. Israel. Adik benci dengar nama itu. Kemarahan adik meluap-luap.Ummi beritahu adik abang telah pergi ikut Walid.Ummi kata Ummi bangga mempunyai anak seperti abang.Adik masuk tidur awal.Adik mimpi satu tempat yang sangat cantik.Adik nampak Walid dan abang senyum pada adik. Adik cuba mengejar mereka, tapi semakin adik kejar semakin mereka menghilang.Keesokan harinya adik tunggu Jamal di tepi jalan seperi yang dijanjikan.Lima minit berlalu Jamal tidak muncul-muncul juga. Hampir setengah jam adik tunggu tapi Jamal tetap tidak muncul. Adik tidak suka orang yang mungkir pada janji.Adik tidak mahu jadi munafik. Adik tanya kawan-kawan adik yang lain. Rupa-rupanya Jamal juga seperti Walid dan abang.Jamal pergi ke suatu tempat yang sangat cantik.Tempat yang adik tidak tahu di mana letaknya.Semua orang yang adik sayang pergi ke tempat itu.Mula-mula Walid, kemudian abang dan akhirnya Jamal.
Adik pulang rumah awal.Adik terkejut.Rumah adik dikepung askar Israel.Mereka memang sedang mencari keluarga adik sebab tindakan berani mati abang mengebom kubu Yahudi.Tubuh adik yang kecil memudahkan adik menyusup masuk ke dalam rumah.Adik nampak Ummi terpelosok di satu sudut.Adik lihat dengan mata adik sendiri, tentera itu tendang Ummi.Mereka sepak dan terajang Ummi.Tapi Ummi masih bersabar.Ummi masih tidak putus-putus menyebut kalimah keramat…Ahad…Ahad.Mata adik merah.Adik menahan marah.Adik tidak suka orang pukul Ummi.Adik sayang Ummi.Adik benci Israel. Seorang tentera Israel mengacukan pistol kea rah Ummi. Ummi dengan tenang menghadapinya.Tiada pun wajah gementar yang terukir pada wajahnya. Ketika peluru dilepaskan, tiba-tiba…
     “Muhammad!!!” Ummi menjerit sambil memegang tubuh adik.Badan adik berlumuran darah.Pekat dan merah.Adik raba perut adik.Adik rasa sakit.Sakit yang mencucuk.Seketika tadi adik telah mengorbankan tubuhnya yang kecil untuk melindungi Ummi.Natijahnya peluru itu telah merobek perut adik yang tidak berdosa. Adik cuba mengukirkan senyuman untuk Ummi walaupun perit. “Ummi, adik rasa mengantuk.Adik nak tidur.Adik nak jadi macam Walid dan abang,” tergetar-getar suara adik kedengaran di cuping telinga Ummi.Ummi mengangguk, berusaha untuk menahan air mata daripada jatuh bercucuran.Adik pejam mata. Adik nampak Walid, abang dan Jamal melambai-lambai ke arah adik…


Friday, 1 February 2013

“Kerana Al-Furqan, Aku Terima Lamaranmu”




“Amarlina, macam mana?Sudah jumpa qari yang sesuai?Majlis tu tinggal dua minggu saja lagi”, tegur satu suara yang tidak asing lagi bagiku.Suara kak Anis, ‘housemate’ku.Majlis Sambutan Bakti Siswa anjuran Kelab MedicMesir tinggal dua minggu saja lagi.Untuk acara ini, aku ditugaskan sebagai AJK Protokol.Tugas yang agak berat. Aku perlu mencari pengerusi majlis, pembaca doa dan seorang qari untuk membacakan ayat-ayat Al-Quran sebagai pembuka majlis. Teks mereka semua juga, aku yang kena buatkan.Malah, aku perlu membuat aturcara majlis supaya berjalan lancar.Tetamu kehormat yang dijangka hadir pula bukan calang-calang orang, Dekan Fakulti Perubatan, Universiti Al-Azhar. Pensyarah-pensyarah Universiti Al-Azhar yang lain turut dijemput. Majlis Sambutan Bakti Siswa merupakan acara tahunan bagi Kelab MedicMesir. Seperti biasa, tiap-tiap tahun pelajar tahun tiga yang akan mengendalikannya. Bagi tugasku, untuk mencari pengerusi majlis yang mahir berbahasa arab dan juga pembaca doa, Alhamdulillah sudah jumpa. Ini semua dengan pertolongan akhi Faris, AJK Protokol bagi pelajar muslimin.Yang menjadi masalahnya sekarang, untuk aku mencari qari yang benar-benar layak untuk mengalunkan kalimah-kalimah Allah S.W.T yang suci. Banyak juga nama yang aku peroleh dengan bantuan dua orang teman karibku sepanjang di Mesir ini, Marlisa dan Syahidah.
Bagiku, Marlisa dan Syahidah merupakan temanku yang paling baik dan setia.Hanya mereka yang mampu melayan kerenahku. Sepanjang hampir tiga tahun kami di bumi Anbiya’ ini untuk menuntut ilmu, kami bernasib baik sebab ditempatkan di rumah yang sama. Kami bertiga merupakan pelajar perubatan tahun tiga di Universiti Al-Azhar.University tertua di dunia.Kami sangat beruntung dapat belajar di sini. Semangat perjuangan para ulama’ terdahulu dalam menuntut ilmu masih segar. Pengajian kami ditaja oleh MARA. Walaupun sibuk dengan aktiviti persatuan, pengajian kami tidak akan sekali-kali diabaikan. “Aku dah tolong carikan 10 calon untuk kau.Takkan tak ada satu yang sesuai untuk jadi qari nanti?” sapa Syahidah.
“Nak buat macam mana Syahidah…nama yang kau bagi tu semua macam tak layak je”, balasku pula.“Ish Amarlina ni!Cerewet betul.Macam manalah kalau nak cari calon zaujun nanti.Entah-entah semua ditolaknya!”kali ini Marlisa pula bersuara.Kata-katanya sedikit menyindirku.Memang, aku seorang yang cerewet. Kalau buat sesuatu tugas, aku akan selesaikan dengan sempurna. Dalam kes mencari qari ni, aku nak cari calon yang betul-betul layak. Yang mampu membuatkan tetamu yang hadir mengalirkan air mata ketika mendengar ayat-ayat suci Al-Quran dibacakan.Samalah kalau nak cari calon suami.Sebagai seorang muslimah, mestilah aku nak cari calon suami yang mampu mengaji Al-Quran dengan baik.Dia juga mestilah berpelajaran dan yang paling penting, taat pada Allah S.W.T, Rasulullah S.A.W dan ibu bapa.Barulah dia boleh membimbing aku dan zuriat kami nanti.
“Hai, kak Amarlina Mumtazah…dah mimpi sampai ke bintang ke?” tegur seorang juniorku, Nina.Nina juga merupakan ‘housemate’ku.Dia pelajar pergigian tahun satu.Sambil aku memikirkan calon qari tadi, sempat lagi aku berkhayal.Memasang angan-angan untuk calon suami nanti. Mengarut saja! “Ada-ada ja Nina ni. Akak tengah pening kepala ni. Nak cari calon qari untuk majlis tu nanti” aku kebuntuan.Masa pula semakin suntuk.Mujurlah petang itu, kak Anis memberikan idea yang bernas kepadaku.Dia memberikan nombor telefon seorang ustaz.Katanya ustaz itu orang Melayu yang mengajar di Mesir. Namanya Ustaz Syahmi. Beliau mengajar pengajian talaqqi di Universiti Al-Azhar.“Mesti ustaz ini ada ramai pelajar muslimin yang layak untuk jadi qari tu nanti”, bisikku di dalam hati.“Syukran, kak Anis!” aku berterima kasih pada kak Anis atas pertolongan yang diberikan.Dia membalas dengan seyuman.
Memandangkan mala mini giliranku untuk menjadi ‘chef’ di dapur kami, sebagai tanda terima kasih, aku memasak makan istimewa buat ‘housemate’ku. Menunya, nasi hujan, kari ayam, telur dadar, sambal ikan bilis dan sayur campur. Aku turut membelanja mereka daging kambing panggang.Aku beli di Suuq Khadijah tadi.Sekali-sekala makan besar.Mereka hanya tersenyum memuji-muji masakanku.Malam itu, kami tidur dalam kekenyangan walaupun qari untuk majlis itu nanti masih belum kutemui.
Keesokan paginya, sebelum aku pergi ke kelas biologi, aku sempat menghantar SMS kepada Ustaz Syahmi.
“Assalamualaikum w.b.t.A’asif, ya ustaz. Ana Nur Amarlina Mumtazah. Ana mendapat nombor ustaz dari ukhti Anis.Katanya, dia salah seorang anak murid ustaz.Ana ingin meminta bantuan dari ustaz.Boleh ustaz tolong carikan calon qari?Ana perlukan seorang qari untuk membaca ayat-ayat Al-Quran sewaktu Majlis Sambutan Bakti Siswa yang akan dijalankan 2 minggu lagi”.
Sepanjang dalam bilik kuliah, aku tidak tentu arah jadinya.Aku masih menunggu jawapan balas dari Ustaz Syahmi. Kelasku hari ini dua jam sahaja. 30 minit selepas kelas bermula, telefonku bergetar.Aku yakin, mesti dari Ustaz Syahmi.
“Waalaikumussalam w.b.t.A’asif, ukhti Amarlina Mumtazah, ana lambat membalas mesej anti.Na’am, Anis anak murid ana. InsyaAllah ana akan cuba tolong anti carikan calon qari tu. Kalau boleh, petang nanti ba’da Asar, anti datang jumpa ana di Masjid Al-Azhar. InsyaAllah, ana akan bawakan sekali calon qari tu. –Ustaz Syahmi-”
“Yesss!!!” satu keluhan gembira terpacul keluar dari mulutku.Agak kuat.Seluruh isi bilik kuliah memandang ke arahku, termasuk pensyarahku.Aku hanya tersenyum kambing, menahan malu.Walau bagaimanapun, misi aku untuk mencari qari sudah tercapai.“Limaza, ya anti?” pensyarahku, Profesor Fadhilah menegur dengan muka peliknya.Aku cuma menggeleng-gelengkan kepala.Beliau kemudiannya menyambung semula kelas seperti biasa.
Setelah tamat sahaja kelas, aku terus pulang ke rumah.Aku pulang bersama-sama Marlisa dan Syahidah.Selepas solat Zohor, aku ingin menuju ke Masjid Al-Azhar seperti yang diberitahu oleh Ustaz Syahmi.Prinsipku, biar kita yang tunggu orang, jangan orang yang tunggu kita.Lebih-lebih lagi, masjid itu agak jauh dari rumahku.Aku perlu menaiki bas.Sebab itu aku masti awal.Untuk urusan kali ini, aku meminta kak Anis untuk menemaniku.Kak Anis pasti mengenali Ustaz Syahmi dengan baik.Usai menunaikan solat Zohor, dan makan tengah hari di rumah, aku memulakan misi pencarian qari.Sudah menjadi kebiasaan pelajar-pelajar di Mesir untuk masak dan makan di rumah.Dapat menjimatkan wang.
Semasa aku dan kak Anis ingin menaiki bas, tiba-tiba seorang lelaki Arab yang melulu keluar dari bas. Dia sempat melarikan beg kak Anis. Aku dan kak Anis menjerit meminta tolong.Tiada siapa yang peduli.Aku terlihat seorang pemuda sedang mengayuh basikal tidak jauh dari kami.Nampak gayanya seperti penuntut Malaysia.Aku meminta tolong daripadanya.“Lau samahta.Hal anta Maliziy?” aku bersuara.“Na’am, ana Maliziy.Limaza, ya ukhti?” balas pemuda itu.“Tolong kami.Beg tangan teman saya diragut orang!” aku meminta tolong.Kemudian, sepantas kilat pemuda itu mengayuh basikal dan mngejar peragut tersebut.Kak Anis sedih.Dia menangis di atas bahuku. Di dalam beg itu terdapat kad pengenalan, passport dan beberapa barang berharga yang lain. Aku melihat jam tanganku. Sudah hampir masuk waktu Asar.Beberapa minit kemudian, pemuda itu kembali. Dia membawa bersama-samanya beg tangan kak Anis. Di matanya terdapat kesan lebam.
“Syukran!Emm…anta cedera?” aku mengucapkan terima kasih mewakili kak Anis.“Afwan.Tak ada apa-apa. Sikit saja ni. Lain kali hati-hati ya!” balas pemuda itu sebelum dia berlalu pergi. Dia beredar dengan meninggalkan salam. Inginku tanya siapa nama pemuda itu. Tetapi tidak sempat.Kak Anis pula ingin memberinya upah, tetapi ditolaknya dengan baik.Dari segi perwatakan dan rupa parasnya, ada yang memenuhi ciri-ciri zaujun idamanku.Tanpa berlengah, kami teruskan misi kami yang tergendala sebentar tadi.Setibanya kami di Masjid Al-Azhar, kami terus menunaikan solat Asar.Usai solat, aku dan kak Anis menyelak hijab untuk mencari keberadaan Ustaz Syahmi.Kak Anis memberitahuku, Ustaz Syahmi berada di tengah-tengah antara 5 orang yang berada dalam halaqah itu.Dia berserban putih, berjubah merah hati dan mempunyai janggut.Wajahnya sungguh sayu dan tenang sekali.Wajah orang beriman. Aku dan kak Anis menuju ke arah halaqah itu dan berdiri beberapa meter di belakang mereka.
“Assalamualaikum w.b.t.A’asif ustaz, ana lambat.Ada kecelakaan yang menimpa kami berdua tadi”, aku menyapa. Para jemaah yang lain sudah mulai beredar. Salamku dijawab oleh semua ahli halaqah Ustaz Syahmi.Tiba-tiba, seorang ahli halaqah Ustaz Syahmi menoleh ke arahku dan kak Anis.Matanya lebam.Aku kenal pemuda itu.Pemuda yang tadi telah menolongku dan kak Anis.Dia senyum pada kami.Aku senyum kembali dan tertunduk malu.Kak Anis menyigungku kehairanan.“Ouh…tidak mengapa.Lagipun kami juga baru saja berkumpul.Sebentar tadi ada kecelakaan yang menimpa calon qari yang kamu minta ana carikan.Inilah dia, akhi Nik Khairul Amran”, balas Ustaz Syahmi sambil menunjukkan jarinya ke arah pemuda yang telah menolong kami tadi. Tidak kusangka, pemuda itu rupa-rupanya yang akan menjadi qari. Perbincangan kami kemudiannya diteruskan.
Sebelum tamat, Ustaz Syahmi menyuruhku mengambil nombor akhi Amran supaya senang dihubungi nanti.Setelah semua orang beredar, akhi Amran masih lagi di situ.Tangannya memegang kitab suci Al-Quran.“Mesti dia ingin memulakan latihan”, dugaku.Aku sekali lagi berterima kasih kepadanya atas pertolongan yang diberikan sebentar tadi.Aku juga berterima kasih atas kesudiannya menjadi qari pada majlis itu nanti.
     Tiga hari sebelum majlis itu bermula, pengarah projek, akhi Hanzalah memaklumkan kepada semua jawatankuasamajlis bahawa akan diadakan sesi latihan. Perananku sebagai AJK Protokol sudah bermula. Biro akulah yang akan menentukan sama ada majlis itu akan berjalan lancar atau tidak. Aku menghantar SMS kepada akhi Amran.
“Salam, akhi Amran. InsyaAllah mala mini akan diadakan sesi latihan di Dewan Besar Al-Azhar. Ana harap anta sudah bersedia. Kalau sudah sampai nanti, SMS ana ya?-Amarlina Mumtazah-”
Tidak lama selepas itu, satu mesej masuk ke telefon bimbitku.
“Wassalam.A’asif, ukhti Amarlina.Ana tidak dapat hadir malamini.Ana sedang berada di Cairo sekarang.Melawat murabbi ana.Dia sakit.InsyaAllah untuk acara malam itu nanti, ana sudah bersedia. Ana berlatih dengan Ustaz Syahmi.-Amran-”
Mesej itu membuatkan aku berasa serba salah. Aku risau jika apa yang dirancang tidak menjadi. Aku memaklumkan perkara tersebut kepada akhi Hanzalah.Katanya, “tidak mengapa.Kalau macam itu, kita buat setakat mana yang ada saja. Nanti anti maklumkan kepada akhi Amran, kita telah sediakan satu slot untuknya selepas bacaan doa, ya?” Nasib baik akhi Hanzalah seorang yang boleh bertolak-ansur.Malam itu sesi latihan berjalan lancar walaupun masih ada sedikit masalah teknikal.
*                                            *                                                     *
Malam yang ditunggu-tunggu telah tiba.Para tetamu mula mengambil tempat di dalam dewan.Akulah orang yang paling sibuk. Sekejap ke sana, sekejap ke sini. Mujur akhi Amran tiba awal.Dia sudah bersiap sedia di belakang pentas.Tempat untuk dia membaca Al-Quran dihias indah oleh AJK Persiapan Pentas.Yang paling menyentuh hatiku, pakaian yang dipakainya sedondon denganku.Jubah berwarna biru laut.Aku tergamam seketika.Setibanya VVIP ke dalam dewan, majlis dimulakan.Seterusnya, tiba pula slot bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.Akhi Amran muncul dari belakang pentas dengan tenang.Dia sempat tunduk hormat ke arah tetamu yang hadir. Seluruh isi dewan diam. Saat akhi Amran memulakan bacannya, ya Allah!!! Hanya Allah S.W.T sahaja yang tahu.Merdu sekali suaranya.Tajwidnya tepat, sebutannya pula jelas dan disertakan dengan tarannum yang cukup sempurna.Tetamu-tetamu yang hadir terpukau. Aku yang tadinya sibuk berjalan ke sana ke mari, terhenti tatkala mendengar suara merdunya itu. Terasa keringat membasahi pipiku. Subhanallah!
Setelah tamat saja majlis tersebut, semua AJK majlis muslimat meluru ke arahku.Masing-masing bertanyakan siapakah gerangan qari yang membacakan Al-Quran sebentar tadi.Akhi Amran berdiri tidak jauh dariku.Dia hanya mengukir senyuman kepadaku.Sepatutnya dia yang pantas dikerumuni, bukannya aku.Beberapa minit kemudian, aku sudah tidak Nampak kelibatnya.Aku belum lagi berterima kasih kepadanya.Pulang saja dari rumah, aku disambut dengan puji-pujian dari ‘housemate’ku.Mereka mula membuat ‘gosip rumah’ antara aku dengan akhi Amran.Aku keletihan dan terus ke bilik, malas melayan gosip mereka.Aku sempat menghantar SMS kepada akhi Amran sebagai tanda penghargaan.
“Syukran, ya akhi.Suara anta sungguh merdu.Ramai tetamu yang memuji. Moga Allah sentiasa merahmati antaJ
Mesejku dibalas ringkas.Itupun keesokan paginya.
“Afwan!Itu semua pemberian Allah…doakan ya!”
Walaupun ada sedikit perasaan marah, tapi tidak mengapa.Dia telah menolongku.Petang itu, kak Anis memberitahuku yang Ustaz Syahmi ingin bertemu denganku di rumahnya.Aku hairan.Aku sudah tidak menghubunginya, mengapa beliau ingin berjumpa denganku?Aku hanya mengangguk.Aku meminta kak Anis sekali lagi untuk menemaniku.Dia bersetuju.
Di rumah ustaz Syahmi, kami disambut oleh zaujahnya, Ustazah Hasanah.Kami dihidangkan dengan air teh dan biskut.Ustaz Syahmi muncul selang beberapa minit kemudian. “Begini, Amarlina. Ana menerima amanah daripada seorang anak murid ana.Dia meminta ana bertanyakan kepada anti.Adakah anti sudah ada yang berpunya?”Ustaz Syahmi memulakan perbualan sambil berjalan ke kerusi.“Maksud ustaz?” aku kelirudan bertanyakan penjelasan daripada beliau.“Maksud ana, adakah anti sudah ada calon zaujun?Kalau belum, anak murid ana ingin menyuntingmu”, terang Ustaz Syahmi.Aku terkejut mendengar berita tersebut.Sambil menjamah biskut, aku tersedak.Kak Anis menghulurkan secawan teh kepadaku sambil tersenyum. “Sss..siapa ustaz?” aku bertanya kembali kepada beliau. Sebenarnya, aku masih belum mempunyai calon zaujun.Tumpuanku pada waktu ini hanyalah pada pengajianku.Aku ingin menggenggam segulung ijazah buat ummi dan walid.
“Nama anak itu…Nik Khairul Amran.Qari yang anti minta ana carikan dulu…” jawab ustaz.
Apa??? Akhi Amran? Benarkah dia yang telah melamarku melaui Ustaz Syahmi?Aku tidak percaya.Pelik dan ajaib.Aku meminta kepada Ustaz Syahmi untuk memberikan kepadaku tempoh 3 hari untuk berfikir.Sepanjang 3 hari itu, perasaanku jadi kacau.Fikiranku bercelaru.Hatiku pula jadi tidak keruan memikirkannya.Setiap kali selesai solat, aku sentiasa meminta petunjuk daripada Allah S.W.T. Solat istikharah turut kudirikan.Aku memaklumkan hal ini kepada ummi dan walid di rumah.Mereka menyerahkan segala-galanya kepadaku.Aku bertambah buntu.
Pejam celik, pejam celik, tempoh 3 hari sudah tamat.Aku pergi semula ke rumah Ustaz Syahmi.Kali ini bukan setakat dengan kak Anis.Malah, aku membawa seluruh isi rumahku. Sesampainya kami di sana, akhi Amran dan beberapa lagi anak murid Ustaz Syahmi sudah tiba. Gementar aku jadinya.Aku perlu membuat keputusan yang rumit, mengenai jodohku sendiri. Kumulakan ucapanku dengan kalimah, “Bismillahirrahmanirrahim”
“Ana harap keputusan yang ana buat tidak mengguris hati mana-mana pihak.Ana, Nur Amarlina Mumtazah binti Zainal Abidin dengan rasa rendah diri, menerima lamaran akhi Nik Khairul Amran.Tetapi, dengan satu syarat iaitu setelah ana tamat pengajian di sini. Sepanjang tempoh ini, akhi Amran diberi kebebasan sama ada untuk setia dengan ana atau mencari orang lain. Wallahua’lam”, ayatku disusun dengan perlahan dan penuh tertib.
Semua yang hadir mengucapkan kalimah “Alhamdulillah”.Menandakan rasa syukur ke hadrat Ilahi.Ini adalah keputusan yang paling berat untuk kuputuskan dalam hidup.Akhi Amran dengan tenang menerima syarat yang aku tetapkan. Katanya, dia akan cuba sedaya-upaya untuk setia denganku. Tidak kusangka, kerana mencari seorang calon qari, aku menemui calon suami. “Akhi Amran, kerana Al-Furqan, aku menerima lamaranmu…”
Syukran, bakal zaujunku!

halaqah al-mujahidah