Search This Blog
Thursday, 2 May 2013
Sunday, 31 March 2013
“Syazwan, Ceritaku”
Namaku
Syazwan. Anak sulung daripada 3 orang adik-beradik.Usiaku awal 30-an. Inginku
ceritakan satu kisah tentang diriku.Diharapkan dapat menjadi tauladan dan
iktibar.Kisah ini berlaku beberapa tahun yang lalu.Bermula di sebuah desa
kecil.Nun jauh di utara tanah air.
Kampung Tanjung, Jeneri, Kedah
Di kampung inilah tempat aku dan dua lagi adikku
membesar.Ibuku telah berpisah dengan ayahku.Mereka telah bercerai.Aku masih
ingat lagi.Pada waktu itu, usiaku baru 8 tahun.Selepas berpisah, di kampung
inilah tempat kami menetap.Kampung ini merupakan kampung atuk dan nenekku.Ibu
dan bapa kepada ibuku.Ibuku yang pada waktu itu bergelar janda anak tiga telah
bekerja di sebuah kilang berdekatan dengan kampung untuk menyara hidup kami
adik-beradik.Atuk dan nenek sudah tua.Mereka tak larat.Atuk kemalangan sewaktu
menjadi tentera dahulu.Kakinya patah.Atuk hanya mengambil upah membuat jala di
rumah.Nenek pula, sering diserang penyakit lelah.Nenek tak boleh buat kerja
yang berat-berat.Tapi, nenek sangat pandai buat kuih.Nenek selalu mendapat
tempahan untuk membuat kuih dari jiran-jiran.Nenek hanya buat sekadar yang
termampu sahaja.Aku tahu, sebagai anak sulung, aku perlu belajar
rajin-rajin.Aku perlu jadi contoh untuk adik-adik.
Selang beberepa tahun selepas itu, ibu memberitahuku
dan adik-adik yang ibu mahu kahwin lagi.Sejak ibu dan ayah berpisah, ayah
jarang menelefon kami untuk bertanyakan khabar.Duit pun sekali-sekala sahaja
diposnya.Ayah dah mula lari dari tanggungjawabnya terhadap kami adik-beradik.
Ibu ada cakap yang ayah sudah kahwin lain. Ayah kini tinggal dengan isteri
barunya di Pulau Pinang. Cadangan ibu untuk berkahwin lagi disokong oleh atuk
dan nenek.Adik-adik yang masih kecil dan tidak tahu apa-apa hanya seronok.
Mereka seronok kerana akan dapat ayah baru. Tapi aku?Apa perasaan aku? Memang,
anak sulung suka memberontak.Aku merajuk beberapa hari.Aku tidak bercakap
dengan ibu selama beberapa hari itu.
Satu hari, ibu cuti.Ibu bercadang untuk membawa aku
dan adik-adik makan KFC di Alor Star.Ibu negeri Kedah. “Mungkin ini cara mak nak pujuk aku”, dugaku.
“Mak tau, Wan tak cakap pun dah tau. Wan tak suka mak kahwin lainkan?” soalan
itu keluar dari mulut ibu. Aku terdiam.Benar kata orang, naluri seorang ibu
sentiasa benar.Seorang anak tidak boleh menipu ibunya.“Memang! Wan tak suka mak
kahwin lain. Nanti mak tak sayang kami lagi!” balasku pula.Adik-adik leka
meratah ayam KFC.Hari itu mak baru dapat gaji.“Siapa kata mak tak sayang
anak-anak mak?Mak sayang semua anak-anak mak.Abah baru tu baik. Dia mesti
sayang dekat Wan dengan adik-adik…” Kata-kata ibu ketika itu membuatkan aku
akur.Aku bersetuju dengan keputusan ibu, asalkan aku, ibu dan adik-adik
bahagia.
Ibu ada cerita yang bakal ayah baru aku nanti, seorang
duda.Dia mempunyai empat orang anak.Dua daripada anak-anaknya sedang belajar di
Sekolah Berasrama Penuh.Dia juga telah berpisah dengan isterinya.Sama macam
ibu.Keempat-empat anak-anaknya tinggal dengannya. Kalau ibu jadi berkahwin
nanti, bermakna aku akan mempunyai 7 orang adik-beradik. Kata ibu lagi, bakal
ayahku itu seorang yang baik hati.Dia tidaklah sekaya mana.Dia bekerja sebagai
seorang makenik.Dia bekerja sendiri. Tetapi, dia sudah berjanji pada ibu untuk
sedaya-upaya memberikan kemewahan dan kebahagiaan kepada kami dengan apa
adanya. Bagiku, kemewahan itu tak penting.Yang paling penting, kasih sayang
seorang ayah.Akhirnya, ibu telah selamat diijabkabulkan.Bermula daripada detik
itu, aku dan adik-adik perlu ikut ibu dan ayah baru kami pulang ke rumahnya di
Bandar Baru Beris Jaya. Bermula saat itu juga, segala-galanya bermula…
Bandar Baru Beris Jaya, Sik, Kedah
Kini, aku sudah ada ayah semula.Urusan pertukaran
sekolahku dan adik-adik semuanya dibuat oleh ayah baruku yang aku panggil
‘abah’.Aku agak kekok pada mulanya untuk bertegur sapa dengan abah.Riak mukanya
kelihatan garang.Dengan misai.Tak ubah seperti Sarjan Misai.Takut juga aku
dibuatnya.Aku dan adik-adik terpaksa berkongsi bilik dengan 2 orang anak lelaki
abah.Abah mempunyai 2 anak lelaki dan 2 anak perempuan.Anak sulungnya kupanggil
kakak. Kakak Zarina. Baik orangnya.Wajahnya juga cantik seperti ibu
kandungnya.Ibu kandung mereka sering ke rumah untuk melawat anak-anaknya.Ibu
kandung mereka turut kupanggil ‘mak’.Baik seperti ibuku.Anak abah yang kedua
pula, kupanggil abang. Abang Zaidi. Aku tak berapa suka dengan perangainya.Dia
suka mengadu pada ibuku jika aku membuat salah. Akibatnya, aku yang akan
dimarahi. Kakak Zarina dan abang Zaidilah yang belajar di Sekolah Berasrama
Penuh.Mereka pandai, sama seperti 2 lagi adik mereka. Adik tiriku.Seorang
belajar di darjah 5.Kupanggilnya Bang Chik.Seorang lagi, Aisyah, belajar di
darjah 1.Kedua-dua mereka selalu mendapat tempat pertama dalam ujian di
sekolah.Anak-anak abah semuanya pandai-pandai.Lain pula denganku.Aku tak berapa
pandai.Lembab.Sering mendapat tempat tercorot dalam kelas.Kalau di rumah, ibu
selalu memarahiku.Katanya aku hanya suka main saja.Abah ada juga
menasihatiku.Katanya, aku perlu belajar rajin-rajin.Dapat keputusan yang
cemerlang seperti kakak dan abang tiriku.Perkara inilah yang aku tidak
suka.Mesti ada perbandingan antara aku dan adik-adik dengan saudara-saudara
tiri kami.Kadang-kadang aku mengeluh.
Setelah keputusan UPSR diumumkan, aku mendapat 2B 3C.
Itulah saja keputusan yang mampu kelakarkan di slip keputusanku. Seharian aku
mendengar leteran ibu.Tidak cukup dengan itu, abah pula menyambung.Katanya aku
tak seperti kakak dan abang tiriku.Sekali lagi aku disbanding-bandingkan.Untuk
melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah, abah telah membuat keputusan untuk
menghantarku ke SMK Seri Enggang.Sekolah menengah harian yang berhampiran
dengan rumah.Katanya, aku perlu tinggal di asrama.Aku akur dengan keputusannya.
SMK Seri Enggang
Di sekolah inilah aku menunjukkan siapa diriku yang
sebenar.Sekolah ini memang terkenal dengan pelajar-pelajarnya yang
nakal.Pelajar yang mendapat keputusan yang kurang baik semasa UPSR
kebanyakannya melanjutkan pelajaran di sini.Aku mula berkawan dengan
kawan-kawan yang sering membuat masalah.Mereka ada juga mengajakku untuk ponteng
kelas.Pada mulanya, aku enggan.Selepas beberapa kali didesak, akhirnya aku
sudah terikut-ikut dengan mereka.Kami menghabiskan masa di Cyber Café di
hadapan sekolah. Kemudian, aku mula diperkenalkan dengan rokok. Seperti biasa, mulanya aku
menolak.Tetapi, kata kawanku rokok dapat mengurangkan tekanan belajar.Sekali
lagi aku terikut-ikut dengan kata-kata mereka.Sekalipun perbuatan kami tidak
dapat dihidu oleh guru-guru.Setiap kali cuti pulang bermalam, aku
menyembunyikan sikapku itu.Ada juga aku berasa ketagih untuk merokok, tetapi
aku tahan.Sebelum pergi ke sekolah, abah akan memberikanku duit belanja
bulanan. Aku pasti akan meminta duit lebih.
“Abah, nak duit lebih sikit.Cikgu suruh beli buku
rujukan.Lepas tu, nanti ada tuisyen malam.Kena bayar duit lagi”, bohongku.Tanpa
soal lanjut, abah memberikan saja duit lebih seperti yang ku minta.Abah
menghulurkan RM100 kepadaku.Aku hanya tersenyum.
Semasa di Tingkatan 3, aku mula terjebak dengan
penyakit ‘cinta monyet’. Memang, aku tahu aku akan mengambil peperiksaan
penting pada tahun ini iaitu PMR. Namun, aku berasa tercabar tatkala melihat
kawan-kawanku semuanya sudah ada pasangan masing-masing.Mereka melayan pasangan
mereka seperti pasangan kekasih yang sedang bercinta.Aku mula tertarik dengan
seorang pelajar perempuan di kelasku. Namanya Lina. Dimataku, dia cukup cantik.
Kami sering berbalas-balas surat. Pelajaranku sudah mulai terabai.
Pada suatu hujung minggu, aku menelefon abah untuk
meminta duit lagi. Aku memberitahunya yang sekolah akan mengadakan kem untuk
pelajar-pelajar Tingkatan 3. Tengah hari itu juga abah menghantar
kepadaku.Sebenarnya, aku dan kawan-kawan telah merancang untuk berjalan-jalan
di Sungai Petani.Setiap orang mempunyai pasangan masing-masing. Pasanganku,
Lina. Tidak sangka, dalam keasyikan kami bergelak-tawa di sana, kami telah
terserempak dengan seorang guru disiplin di sekolah, Cikgu Wahab. Kami
terserempak dengannya di Village Mall.Akhirnya, semuanya telah terbongkar.Pada
hari sekolah, kami semua dipanggil ke bilik pengetua.Kami dituduh telah
melanggar peraturan asrama.Yang paling mengejutkanku, ibu bapa kami dipanggil
juga. “Habis aku kali ni!” aku bermonolog sendirian.
Apabila sampai saja ibu dan abah ke bilik pengetua,
“Paannggg!!!”Aku ditampar dengan kuat sekali oleh abah.Semua orang yang ada di
bilik pengetua terkejut.Mereka terdiam.Aku tenang menerima tamparan itu kerana
sudah kuduga.Aku memang pantas ditampar.Aku sudah menconteng arang di muka ibu
dan abah.Pelajar-pelajar yang terlibat digantung sekolah selama seminggu.Sampai
saja di rumah, ibu terus meleteriku.“Wan, Wan! Apala nak jadi dengan hang ni.
Aku ingat hantar hang duduk kat asrama boleh jadi elok. Kalau macam ni hang pi
tinggal dengan pak hang lah kat Pulau Pinang. Nak?” marah ibu.Aku keras
membatu.
Selepas kejadian itu, abah membuat keputusan untuk
menghantarku kepada ayah kandungku di Pulau Pinang.Ibu setuju. Aku disuruh
tinggal bersama keluarga baru ayah di sana. Buat kali kedua, aku akur dengan
keputusan abah. Abah sendiri menghantarku ke sana dengan ibu. Urusan pertukaran
sekolah telah dibuat.
Apartmen Mutiara, Pulau Pinang
Di sinilah aku tinggal dengan ayah kandungku.Pada
mulanya, ayah tidak mahu menjagaku.Namun, setelah didesak oleh ibu dan abah,
dia terpaksa setuju.Selama tinggal di sini, ayah tidak sekalipun menunjukkan
kasih sayangnya padaku. Ayah tidak pernah menanyakan perkembangan pelajaranku.
Tambahan pula, tidak lama lagi aku akan mengambil peperiksaan PMR. Ibu tiriku
pula, asyik sibuk menjaga anaknya.Aku hanya memendamkan saja keluhanku di dalam
hati.
Tiba-tiba…
*
*
*
“Ayah….bangun.mama suruh bangun. Dah
Maghrib!” suara kecil Alisya mengejutkanku.Alisya anak sulungku.Anak daripada
hasil perkahwinanku dengan seorang wanita yang kucintai, Kamilia.Aku ketiduran
setelah pulang dari kerja tadi.Keletihan.Aku kini sudah memiliki sebuah
keluarga yang bahagia.Hidupku kini cukup sempurna.Bagaimana aku berubah?Siapa
yang mengubahku?
Sebenarnya, selama aku tinggal dengan
ayahku, aku telah berkenalan dengan seseorang.Abang Kamal.Dia seniorku di
sekolah.Rumahnya hanya selang beberapa tingkat dari rumahku.Di sekolah, dia
cukup terkenal dengan kebaikan dan kepintarannya.Dialah yang selama ini menolongku.Dialah
yang selama ini memberi dorongan kepadaku untuk berjaya.Dia selalu membantuku
dalam pelajaran. Dia juga mengajarku untuk menghormati ibu bapa, sama ada ibu
bapa kandung atau tiri. Kini, aku bekerja dengannya di syarikat milik
ayahnya.Aku dilantik menjadi pengarah pemasaran.Jawatan yang agak tinggi di
syarikat itu.Dalam hatiku, aku amat menyayangi ibu dan ayah kandungku serta ibu
dan ayah tiriku.Terima kasih abah atas tamparan yang telah mengubah hidup
Wan.Terima kasih juga abang Kamal yang sudi menolongku. Aku percaya, tidak ada
insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada
insan berdosa yang tidak mempunyai masa depan.
Saturday, 2 February 2013
“Erti Sebuah Pengorbanan"
Adik bangun pagi.Adik kesat mata.Walid yang kejutkan
adik.Adik ngantuk sangat.Adik tarik selimut balik.Tidur semula.Walid geleng
kepala bila nampak adik tidur balik.Walid tepuk belakang adik suruh adik
mandi.Lepas mandi, adik pakai baju baru.Ummi kata hari ini Hari Raya
Aidilfitri.Semua orang pakai baju baru.Tadi adik tengok Ummi pakai baju buruk,
Walid pun pakai baju buruk.Ummi cuma senyum bila adik mengajukan soalan
itu.Ummi kata cukuplah adik seorang yang pakai baju baru.
Walid pimpin tangan adik pergi masjid.Kami jalan kaki
melalui denai-denai kecil.Sepanjang jalan, adik dengar takbir raya. ALLAHU
AKBAR, ALLAHU AKBAR, LA ILAHAILLA ‘I-LLAHU
ALLAHU AKBAR WA’L-LAHU AKBAR WALILLAHI’LHAM. Adik khusyuk
dengar.Merdu.Adik angkat tangan ke telinga, lagak seperti bilal masjid sambil
menjerit takbir raya.Walid cuma ketawa kecil melihat gelagat adik.Di
persimpangan jalan, kami bertemu dengan Pak Cik Nasir, jiran adik.Adik pandang
Walid.Walid ralit berbual dengan Pak Cik Nasir.Adik dengar Walid berbual
tentang syahid, Yassier Arafat dan lain-lain lagi. Nama Negara adik pun Walid
sebut, Palestin. Tapi adik tidak faham.Adik cuma mendengar saja.
Adik tiba di perkarangan masjid.Masjid itu besar,
tersergam indah.Masjid kebanggaan negara adik, Masjidil Aqsa.Walid pernah
beritahu adik, Masjidil Aqsa kiblat pertama sebelum Ka’abah di Mekah.Masjidil
Aqsa juga salah satu tempat suci dalam Islam.Nabi Muhammad pun mengalami
peristiwa Isra’ Mikraj di masjid ini.Adik buka kasut dan masuk ke perut
masjid.Adik lihat ramai orang.Semuanya duduk dalam saf.Walid tarik adik duduk
di penjuru masjid, kemudian Walid solat tahiyatul masjid.Adik ikut Walid solat
raya.Adik berdiri betul-betul dekat dengan Walid.Adik pandang Walid.Bila Walid
angkat takbiratul ihram adik pun angkat.Mulut Walid terkumat-kumit membaca
sesuatu. Adik pun ikut samawalaupun adik tidak tahu apa yang adik baca. Walid
rukuk, adik rukuk.Walid sujud, adik sujud.
Adik
membilang anak tangga selepas selesai solat raya dan bersalam-salaman dengan
jemaah yang lain. Walid ada di belakang adik.Suasana ketika itu tenang dan
damai.Adik suka ketenangan.Adik tarik nafas, hirup dalam-dalam udara
pagi.Tiba-tiba ketenangan itu diragut.Adik nampak ramai orang bertempiaran
lari.Adik juga nampak sekumpulan askar yang memegang senjata sedang mara menuju
ke arah masjid.Adik dengar bunyi kuat.Bunyi tembakan.Walid dukung adik erat
sambil melaungkan takbir.Adik takut.Adik pejam mata.Kaki Walid yang kuat
berlari tiba-tiba terhenti.Pautan tangan Walid longgar dan akhirnya
terlerai.Adik rasa seperti sekujur tubuh tumbang dan menghenyak adik.Adik
pandang belakang.Mata adik terbeliak.Adik nampak tubuh Walid.Kepala Walid
berdarah. Adik menjerit nama Walid. Manik-manik jernih mula gugur satu-persatu
dari kelopak mata adik.Walid pandang adik.Walid cium pipi adik.Walid suruh adik
lari.Adik geleng kepala.Adik pegang tangan Walid.Adik hendak duduk di sisi
Walid.Walid senyum pada adik.Walid tidak bergerak.Walid
kaku.“Waliiiiiiiiiiiiiiiiiid!!!”
Adik kesat air mata.Adik lari kuat-kuat.Adik lari
tidak pandang kiri dan kanan.Sampai di rumah adik terus menangis.Ummi hairan
tengok adik. Adik sebut nama Walid berkali-kali. Mayat Walid dihantar ke rumah
tidak lama selepas itu.Adik masih menangis.Adik tengok Ummi cium dahi Walid.Ummi
peluk adik. Beberapa orang jiran cuba tenangkan Ummi. Abang yang duduk di
penjuru dinding juga menangis.Abang dah besar.Umur abang dah enam belas
tahun.Abang pergi dekat Walid, abang peluk dan cium Walid.Selepas sembahyang
adik nampak orang angkat Walid keluar rumah. Abang pun ikut sama. Adik tidak
ikut.Adik duduk rumah dengan Ummi. Adik tanya Ummi, mana perginya Walid. Ummi
diam. Adik tanya lagi sambil menongkat dagu menunggu jawapan daripada mulut
Ummi. Ummi pandang adik.Ummi kata Walid pergi ke satu tempat yang sangat
cantik. Walid pergi tidak akan kembali lagi. Adik cuma mengangguk.
“Adik nak ikut Walid”.Ummi geleng kepala dan peluk
adik. Adik lap air mata di pipi Ummi. Adik senyum, Ummi pun senyum.Petang itu
ramai kawan abang datang.Abang ajak mereka ke belakang.Abang tekun membuat
sesuatu.Sesuatu yang menyerupai senapang.Adik cuma duduk diam dan
tengok.Kawan-kawan abang pun khusuk membuat kerja.Adik menguap
berkali-kali.Bosan duduk diam tanpa membuat sebarang kerja.Tidak keruan adik
dibuatnya.Mata adik meliar mencari barang permainan.Adik nampak benda bulat
seperti bola. Adik pergi dekat cuba mencapai benda itu. Adik pegang dan
belek.Sedang adik seronok main, abang rampas “bola” adik.Adik masam.Adik tarik
muncung empat belas.Adik marah pada abang.Abang tersenyum melihat tingkah laku
adik.Dengan lembut, abang mencubit pipi gebu adik.Abang beritahu adik yang
benda itu bom tangan.Bukannya bola seperti yang adik sangka.Adik diam. Kemudian
berlari mendapatkan Ummi.Adik merajuk.
Adik bangun awal pagi itu. Tidak seperti hari yang
lain, Walid tidak ada untuk kejutkan adik. Apabila teringat Walid, mata adik
mula berair.Tapi adik tidak mahu menangis.Adik orang lelaki.Orang lelaki tidak
boleh menangis.Orang lelaki kena kuat dan tabah.Adik nampak abang sedang bersiap-siap.
Abang galas beg besar. Semua benda yang abang buat semalam abang bawa.
Kawan-kawan abang semuanya sedang menunggu di depan rumah. Abang cium tangan
Ummi, minta izin untuk pergi.Ummi peluk abang, cium abang berkali-kali.Adik
cuma memandang dengan mata terkebil-kebil.Adik garu kepala adik yang tidak
gatal.Abang datang dekat adik.Abang dukung adik.Usap kepala adik.“Adik jaga
Ummi ya”, pesan abang. “Abang nak pergi mana?” Tanya adik seperi orang
bodoh.“Abang nak pergi berjuang”.Abang mengukir senyuman mengakhiri
bicara.Kelibat abang hilang ditelan kabus pagi.Hanya lambaian tangan adik
mengiringi pemergian abang.Lepas abang pergi, Ummi cerita macam-macam perkara
pada adik.Pasal Yahudi, Israel, syurga, jihad dan banyak lagi.Semuanya adik
tidak faham.“Isra….Israfil”, terkial-kial adik menyebut perkataan itu dalam
pelat yang pekat. “Bukan Israfil, Israfilkan nama malaikat yang tiup
sangkakala. Israel la adik. “Is…ra…el,” akhirnya adik berjaya menyebutnya juga.
Ummi ketawa kecil.Adik ikut ketawa menampakkan sebaris gigi adik yang
rongak.Ummi kata Yahudi jahat.Yahudi musuh umat Islam.Yahudi juga musuh
Allah.Yahudi yang mencetuskan peperangan di bumi Palestin.Yahudi yang bunuh
Walid.Adik benci Yahudi.Adik benci sesiapa yang menjadi musuh Allah.
Adik lari keluar rumah.Adik pergi ke jalan besar.Ramai
kawan-kawan sebaya adik di situ.Mereka semua baling batu kepada sekumpulan
tentera yang bersenjata di seberang jalan.Adik ingat lagi, tentera itulah yang
membunuh Walid. Merekalah Yahudi. Adik marah.Adik geram.Adik capai batu.Adik
baling kuat-kuat.Adik pejam mata.Terbayang di kepala adik peristiwa yang
menimpa Walid. Adik sertai kawan-kawan adik yang lain membaling batu.
Kadang-kadang kami lari apabila tentera itu menyerang balas.Ada juga
kawan-kawan adik yang kena tembak.Tumbang satu persatu.Adik nampak baju mereka
merah berlumuran darah.Adik lari menyorok di sebalik bangunan usang untuk
menyelamatkan diri.Adik lari bersama seorang kawan adik.Namanya Jamal. Dia juga
sama dengan adik. Walidnya juga pergi ke suatu tempat yang sangat cantik dan
tidak akan kembali lagi. Apabila keadaan semakin reda, adik pulang ke
rumah.Adik berjanji dengan Jamal untuk melontar batu lagi pada keesokan
harinya.
Malam itu adik duduk bersila di hadapan Ummi sambil
tangan memegang al-Quran.Adik ikat serban ikut suka hati adik.Sekejap adik
lilit ke kiri, sekejap ke kanan.Kadang-kadang serban itu tutup mata adik.Adik
kuak sedikit serban ke atas ketika hendak membaca al-Quran.Adik baca dengan
bersungguh-sungguh. Ummi duduk depan adik sambil memerhati bacaan adik. Adik
hendak jadi macam abang.Umur enam tahun sudah khatam al-Quran.Adik baru umur
tiga tahun.Adik kena rajin kalau hendak khatam cepat. Bacaan adik terhenti
apabila pintu diketuk dan nama Ummi dilaung-laungkan dari luar. “Syukur ya Nur,
anakmu Yassin mati syahid”. Muncul Mak Cik Huda di depan rumah. “Anakmu, anakmu
adalah salah seorang pengebom berani mati ya Nur.Tindakannya menyebabkan tujuh
orang askar Israel terbunuh.Yassin dan tiga orang lagi kawannya mati
syahid.Semoga syurga menanti mereka kelak,” terang Mak Cik Huda panjang lebar.
Ummi
panjatkan doa pada Allah semoga roh abang ditempatkan dalam golongan
orang-orang yang beriman. Adik kaget. Israel. Adik benci dengar nama itu.
Kemarahan adik meluap-luap.Ummi beritahu adik abang telah pergi ikut Walid.Ummi
kata Ummi bangga mempunyai anak seperti abang.Adik masuk tidur awal.Adik mimpi
satu tempat yang sangat cantik.Adik nampak Walid dan abang senyum pada adik.
Adik cuba mengejar mereka, tapi semakin adik kejar semakin mereka menghilang.Keesokan
harinya adik tunggu Jamal di tepi jalan seperi yang dijanjikan.Lima minit
berlalu Jamal tidak muncul-muncul juga. Hampir setengah jam adik tunggu tapi
Jamal tetap tidak muncul. Adik tidak suka orang yang mungkir pada janji.Adik
tidak mahu jadi munafik. Adik tanya kawan-kawan adik yang lain. Rupa-rupanya
Jamal juga seperti Walid dan abang.Jamal pergi ke suatu tempat yang sangat
cantik.Tempat yang adik tidak tahu di mana letaknya.Semua orang yang adik sayang
pergi ke tempat itu.Mula-mula Walid, kemudian abang dan akhirnya Jamal.
Adik pulang rumah awal.Adik terkejut.Rumah adik
dikepung askar Israel.Mereka memang sedang mencari keluarga adik sebab tindakan
berani mati abang mengebom kubu Yahudi.Tubuh adik yang kecil memudahkan adik
menyusup masuk ke dalam rumah.Adik nampak Ummi terpelosok di satu sudut.Adik
lihat dengan mata adik sendiri, tentera itu tendang Ummi.Mereka sepak dan
terajang Ummi.Tapi Ummi masih bersabar.Ummi masih tidak putus-putus menyebut
kalimah keramat…Ahad…Ahad.Mata adik merah.Adik menahan marah.Adik tidak suka
orang pukul Ummi.Adik sayang Ummi.Adik benci Israel. Seorang tentera Israel
mengacukan pistol kea rah Ummi. Ummi dengan tenang menghadapinya.Tiada pun
wajah gementar yang terukir pada wajahnya. Ketika peluru dilepaskan, tiba-tiba…
“Muhammad!!!” Ummi menjerit sambil memegang tubuh adik.Badan adik
berlumuran darah.Pekat dan merah.Adik raba perut adik.Adik rasa sakit.Sakit
yang mencucuk.Seketika tadi adik telah mengorbankan tubuhnya yang kecil untuk
melindungi Ummi.Natijahnya peluru itu telah merobek perut adik yang tidak
berdosa. Adik cuba mengukirkan senyuman untuk Ummi walaupun perit. “Ummi, adik
rasa mengantuk.Adik nak tidur.Adik nak jadi macam Walid dan abang,”
tergetar-getar suara adik kedengaran di cuping telinga Ummi.Ummi mengangguk,
berusaha untuk menahan air mata daripada jatuh bercucuran.Adik pejam mata. Adik
nampak Walid, abang dan Jamal melambai-lambai ke arah adik…
Friday, 1 February 2013
“Kerana Al-Furqan, Aku Terima Lamaranmu”
“Amarlina, macam mana?Sudah jumpa qari yang
sesuai?Majlis tu tinggal dua minggu saja lagi”, tegur satu suara yang tidak
asing lagi bagiku.Suara kak Anis, ‘housemate’ku.Majlis Sambutan Bakti
Siswa anjuran Kelab MedicMesir tinggal dua minggu saja lagi.Untuk acara ini,
aku ditugaskan sebagai AJK Protokol.Tugas yang agak berat. Aku perlu mencari
pengerusi majlis, pembaca doa dan seorang qari untuk membacakan ayat-ayat
Al-Quran sebagai pembuka majlis. Teks mereka semua juga, aku yang kena
buatkan.Malah, aku perlu membuat aturcara majlis supaya berjalan lancar.Tetamu
kehormat yang dijangka hadir pula bukan calang-calang orang, Dekan Fakulti
Perubatan, Universiti Al-Azhar. Pensyarah-pensyarah Universiti Al-Azhar yang lain turut dijemput. Majlis Sambutan Bakti Siswa
merupakan acara tahunan bagi Kelab MedicMesir. Seperti biasa, tiap-tiap tahun
pelajar tahun tiga yang akan mengendalikannya. Bagi tugasku, untuk mencari
pengerusi majlis yang mahir berbahasa arab dan juga pembaca doa, Alhamdulillah
sudah jumpa. Ini semua dengan pertolongan akhi Faris, AJK Protokol bagi pelajar
muslimin.Yang menjadi masalahnya sekarang, untuk aku mencari qari yang
benar-benar layak untuk mengalunkan kalimah-kalimah Allah S.W.T yang suci. Banyak
juga nama yang aku peroleh dengan bantuan dua orang teman karibku sepanjang di
Mesir ini, Marlisa dan Syahidah.
Bagiku, Marlisa dan Syahidah merupakan temanku yang
paling baik dan setia.Hanya mereka yang mampu melayan kerenahku. Sepanjang
hampir tiga tahun kami di bumi Anbiya’ ini untuk menuntut ilmu, kami bernasib
baik sebab ditempatkan di rumah yang sama. Kami bertiga merupakan pelajar
perubatan tahun tiga di Universiti Al-Azhar.University tertua di dunia.Kami
sangat beruntung dapat belajar di sini. Semangat perjuangan para ulama’
terdahulu dalam menuntut ilmu masih segar. Pengajian kami ditaja oleh MARA.
Walaupun sibuk dengan aktiviti persatuan, pengajian kami tidak akan sekali-kali
diabaikan. “Aku dah tolong carikan 10 calon untuk kau.Takkan tak ada satu yang
sesuai untuk jadi qari nanti?” sapa Syahidah.
“Nak buat macam mana Syahidah…nama yang kau bagi tu
semua macam tak layak je”, balasku pula.“Ish Amarlina ni!Cerewet betul.Macam
manalah kalau nak cari calon zaujun nanti.Entah-entah semua ditolaknya!”kali
ini Marlisa pula bersuara.Kata-katanya sedikit menyindirku.Memang, aku seorang
yang cerewet. Kalau buat sesuatu tugas, aku akan selesaikan dengan sempurna.
Dalam kes mencari qari ni, aku nak cari calon yang betul-betul layak. Yang
mampu membuatkan tetamu yang hadir mengalirkan air mata ketika mendengar
ayat-ayat suci Al-Quran dibacakan.Samalah kalau nak cari calon suami.Sebagai
seorang muslimah, mestilah aku nak cari calon suami yang mampu mengaji Al-Quran
dengan baik.Dia juga mestilah berpelajaran dan yang paling penting, taat pada
Allah S.W.T, Rasulullah S.A.W dan ibu bapa.Barulah dia boleh membimbing aku dan
zuriat kami nanti.
“Hai, kak Amarlina Mumtazah…dah mimpi sampai ke
bintang ke?” tegur seorang juniorku, Nina.Nina juga merupakan ‘housemate’ku.Dia
pelajar pergigian tahun satu.Sambil aku memikirkan calon qari tadi, sempat lagi
aku berkhayal.Memasang angan-angan untuk calon suami nanti. Mengarut saja!
“Ada-ada ja Nina ni. Akak tengah pening kepala ni. Nak cari calon qari untuk
majlis tu nanti” aku kebuntuan.Masa pula semakin suntuk.Mujurlah petang itu,
kak Anis memberikan idea yang bernas kepadaku.Dia memberikan nombor telefon
seorang ustaz.Katanya ustaz itu orang Melayu yang mengajar di Mesir. Namanya
Ustaz Syahmi. Beliau mengajar pengajian talaqqi di Universiti Al-Azhar.“Mesti
ustaz ini ada ramai pelajar muslimin yang layak untuk jadi qari tu nanti”,
bisikku di dalam hati.“Syukran, kak Anis!” aku berterima kasih pada kak Anis
atas pertolongan yang diberikan.Dia membalas dengan seyuman.
Memandangkan mala mini giliranku untuk menjadi ‘chef’
di dapur kami, sebagai tanda terima kasih, aku memasak makan istimewa buat ‘housemate’ku.
Menunya, nasi hujan, kari ayam, telur dadar, sambal ikan bilis dan sayur
campur. Aku turut membelanja mereka daging kambing panggang.Aku beli di Suuq
Khadijah tadi.Sekali-sekala makan besar.Mereka hanya tersenyum memuji-muji
masakanku.Malam itu, kami tidur dalam kekenyangan walaupun qari untuk majlis
itu nanti masih belum kutemui.
Keesokan paginya, sebelum aku pergi ke kelas biologi,
aku sempat menghantar SMS kepada Ustaz Syahmi.
“Assalamualaikum w.b.t.A’asif, ya ustaz. Ana Nur
Amarlina Mumtazah. Ana mendapat nombor ustaz dari ukhti Anis.Katanya, dia salah
seorang anak murid ustaz.Ana ingin meminta bantuan dari ustaz.Boleh ustaz
tolong carikan calon qari?Ana perlukan seorang qari untuk membaca ayat-ayat
Al-Quran sewaktu Majlis Sambutan Bakti Siswa yang akan dijalankan 2 minggu
lagi”.
Sepanjang dalam bilik kuliah, aku tidak tentu arah
jadinya.Aku masih menunggu jawapan balas dari Ustaz Syahmi. Kelasku hari ini
dua jam sahaja. 30 minit selepas kelas bermula, telefonku bergetar.Aku yakin,
mesti dari Ustaz Syahmi.
“Waalaikumussalam w.b.t.A’asif, ukhti Amarlina
Mumtazah, ana lambat membalas mesej anti.Na’am, Anis anak murid ana. InsyaAllah
ana akan cuba tolong anti carikan calon qari tu. Kalau boleh, petang nanti
ba’da Asar, anti datang jumpa ana di Masjid Al-Azhar. InsyaAllah, ana akan
bawakan sekali calon qari tu. –Ustaz Syahmi-”
“Yesss!!!” satu keluhan gembira terpacul keluar dari
mulutku.Agak kuat.Seluruh isi bilik kuliah memandang ke arahku, termasuk
pensyarahku.Aku hanya tersenyum kambing, menahan malu.Walau bagaimanapun, misi
aku untuk mencari qari sudah tercapai.“Limaza, ya anti?” pensyarahku, Profesor
Fadhilah menegur dengan muka peliknya.Aku cuma menggeleng-gelengkan
kepala.Beliau kemudiannya menyambung semula kelas seperti biasa.
Setelah tamat sahaja kelas, aku terus pulang ke
rumah.Aku pulang bersama-sama Marlisa dan Syahidah.Selepas solat Zohor, aku
ingin menuju ke Masjid Al-Azhar seperti yang diberitahu oleh Ustaz
Syahmi.Prinsipku, biar kita yang tunggu orang, jangan orang yang tunggu
kita.Lebih-lebih lagi, masjid itu agak jauh dari rumahku.Aku perlu menaiki
bas.Sebab itu aku masti awal.Untuk urusan kali ini, aku meminta kak Anis untuk
menemaniku.Kak Anis pasti mengenali Ustaz Syahmi dengan baik.Usai menunaikan
solat Zohor, dan makan tengah hari di rumah, aku memulakan misi pencarian
qari.Sudah menjadi kebiasaan pelajar-pelajar di Mesir untuk masak dan makan di
rumah.Dapat menjimatkan wang.
Semasa aku dan kak Anis ingin menaiki bas, tiba-tiba
seorang lelaki Arab yang melulu keluar dari bas. Dia sempat melarikan beg kak
Anis. Aku dan kak Anis menjerit meminta tolong.Tiada siapa yang peduli.Aku
terlihat seorang pemuda sedang mengayuh basikal tidak jauh dari kami.Nampak
gayanya seperti penuntut Malaysia.Aku meminta tolong daripadanya.“Lau
samahta.Hal anta Maliziy?” aku bersuara.“Na’am, ana Maliziy.Limaza, ya ukhti?”
balas pemuda itu.“Tolong kami.Beg tangan teman saya diragut orang!” aku meminta
tolong.Kemudian, sepantas kilat pemuda itu mengayuh basikal dan mngejar peragut
tersebut.Kak Anis sedih.Dia menangis di atas bahuku. Di dalam beg itu terdapat
kad pengenalan, passport dan beberapa barang berharga yang lain. Aku melihat jam
tanganku. Sudah hampir masuk waktu Asar.Beberapa minit kemudian, pemuda itu
kembali. Dia membawa bersama-samanya beg tangan kak Anis. Di matanya terdapat
kesan lebam.
“Syukran!Emm…anta cedera?” aku mengucapkan terima
kasih mewakili kak Anis.“Afwan.Tak ada apa-apa. Sikit saja ni. Lain kali
hati-hati ya!” balas pemuda itu sebelum dia berlalu pergi. Dia beredar dengan
meninggalkan salam. Inginku tanya siapa nama pemuda itu. Tetapi tidak
sempat.Kak Anis pula ingin memberinya upah, tetapi ditolaknya dengan baik.Dari
segi perwatakan dan rupa parasnya, ada yang memenuhi ciri-ciri zaujun
idamanku.Tanpa berlengah, kami teruskan misi kami yang tergendala sebentar
tadi.Setibanya kami di Masjid Al-Azhar, kami terus menunaikan solat Asar.Usai
solat, aku dan kak Anis menyelak hijab untuk mencari keberadaan Ustaz
Syahmi.Kak Anis memberitahuku, Ustaz Syahmi berada di tengah-tengah antara 5
orang yang berada dalam halaqah itu.Dia berserban putih, berjubah merah hati
dan mempunyai janggut.Wajahnya sungguh sayu dan tenang sekali.Wajah orang
beriman. Aku dan kak Anis menuju ke arah halaqah itu dan berdiri beberapa meter
di belakang mereka.
“Assalamualaikum w.b.t.A’asif ustaz, ana lambat.Ada
kecelakaan yang menimpa kami berdua tadi”, aku menyapa. Para jemaah yang lain
sudah mulai beredar. Salamku dijawab oleh semua ahli halaqah Ustaz
Syahmi.Tiba-tiba, seorang ahli halaqah Ustaz Syahmi menoleh ke arahku dan kak
Anis.Matanya lebam.Aku kenal pemuda itu.Pemuda yang tadi telah menolongku dan
kak Anis.Dia senyum pada kami.Aku senyum kembali dan tertunduk malu.Kak Anis
menyigungku kehairanan.“Ouh…tidak mengapa.Lagipun kami juga baru saja
berkumpul.Sebentar tadi ada kecelakaan yang menimpa calon qari yang kamu minta
ana carikan.Inilah dia, akhi Nik Khairul Amran”, balas Ustaz Syahmi sambil
menunjukkan jarinya ke arah pemuda yang telah menolong kami tadi. Tidak
kusangka, pemuda itu rupa-rupanya yang akan menjadi qari. Perbincangan kami
kemudiannya diteruskan.
Sebelum tamat, Ustaz Syahmi menyuruhku mengambil
nombor akhi Amran supaya senang dihubungi nanti.Setelah semua orang beredar,
akhi Amran masih lagi di situ.Tangannya memegang kitab suci Al-Quran.“Mesti dia
ingin memulakan latihan”, dugaku.Aku sekali lagi berterima kasih kepadanya atas
pertolongan yang diberikan sebentar tadi.Aku juga berterima kasih atas
kesudiannya menjadi qari pada majlis itu nanti.
Tiga hari
sebelum majlis itu bermula, pengarah projek, akhi Hanzalah memaklumkan kepada
semua jawatankuasamajlis bahawa akan diadakan sesi latihan. Perananku sebagai
AJK Protokol sudah bermula. Biro akulah yang akan menentukan sama ada majlis
itu akan berjalan lancar atau tidak. Aku menghantar SMS kepada akhi Amran.
“Salam, akhi Amran. InsyaAllah mala mini akan diadakan
sesi latihan di Dewan Besar Al-Azhar. Ana harap anta sudah bersedia. Kalau
sudah sampai nanti, SMS ana ya?-Amarlina Mumtazah-”
Tidak lama selepas itu, satu mesej masuk ke telefon
bimbitku.
“Wassalam.A’asif, ukhti Amarlina.Ana tidak dapat hadir
malamini.Ana sedang berada di Cairo sekarang.Melawat murabbi ana.Dia sakit.InsyaAllah
untuk acara malam itu nanti, ana sudah bersedia. Ana berlatih dengan Ustaz
Syahmi.-Amran-”
Mesej itu membuatkan aku berasa serba salah. Aku risau
jika apa yang dirancang tidak menjadi. Aku memaklumkan perkara tersebut kepada
akhi Hanzalah.Katanya, “tidak mengapa.Kalau macam itu, kita buat setakat mana
yang ada saja. Nanti anti maklumkan kepada akhi Amran, kita telah sediakan satu
slot untuknya selepas bacaan doa, ya?” Nasib baik akhi Hanzalah seorang yang
boleh bertolak-ansur.Malam itu sesi latihan berjalan lancar walaupun masih ada
sedikit masalah teknikal.
*
*
*
Malam yang ditunggu-tunggu telah tiba.Para tetamu mula
mengambil tempat di dalam dewan.Akulah orang yang paling sibuk. Sekejap ke
sana, sekejap ke sini. Mujur akhi Amran tiba awal.Dia sudah bersiap sedia di
belakang pentas.Tempat untuk dia membaca Al-Quran dihias indah oleh AJK
Persiapan Pentas.Yang paling menyentuh hatiku, pakaian yang dipakainya sedondon
denganku.Jubah berwarna biru laut.Aku tergamam seketika.Setibanya VVIP ke dalam
dewan, majlis dimulakan.Seterusnya, tiba pula slot bacaan ayat-ayat suci
Al-Quran.Akhi Amran muncul dari belakang pentas dengan tenang.Dia sempat tunduk
hormat ke arah tetamu yang hadir. Seluruh isi dewan diam. Saat akhi Amran
memulakan bacannya, ya Allah!!! Hanya Allah S.W.T sahaja yang tahu.Merdu sekali
suaranya.Tajwidnya tepat, sebutannya pula jelas dan disertakan dengan tarannum
yang cukup sempurna.Tetamu-tetamu yang hadir terpukau. Aku yang tadinya sibuk
berjalan ke sana ke mari, terhenti tatkala mendengar suara merdunya itu. Terasa
keringat membasahi pipiku. Subhanallah!
Setelah tamat saja majlis tersebut, semua AJK majlis
muslimat meluru ke arahku.Masing-masing bertanyakan siapakah gerangan qari yang
membacakan Al-Quran sebentar tadi.Akhi Amran berdiri tidak jauh dariku.Dia
hanya mengukir senyuman kepadaku.Sepatutnya dia yang pantas dikerumuni,
bukannya aku.Beberapa minit kemudian, aku sudah tidak Nampak kelibatnya.Aku
belum lagi berterima kasih kepadanya.Pulang saja dari rumah, aku disambut
dengan puji-pujian dari ‘housemate’ku.Mereka mula membuat ‘gosip rumah’
antara aku dengan akhi Amran.Aku keletihan dan terus ke bilik, malas melayan gosip
mereka.Aku sempat menghantar SMS kepada akhi Amran sebagai tanda penghargaan.
“Syukran, ya akhi.Suara anta sungguh merdu.Ramai
tetamu yang memuji. Moga Allah sentiasa merahmati antaJ”
Mesejku dibalas ringkas.Itupun keesokan paginya.
“Afwan!Itu semua pemberian Allah…doakan ya!”
Walaupun ada sedikit perasaan marah, tapi tidak
mengapa.Dia telah menolongku.Petang itu, kak Anis memberitahuku yang Ustaz
Syahmi ingin bertemu denganku di rumahnya.Aku hairan.Aku sudah tidak
menghubunginya, mengapa beliau ingin berjumpa denganku?Aku hanya mengangguk.Aku
meminta kak Anis sekali lagi untuk menemaniku.Dia bersetuju.
Di rumah ustaz Syahmi, kami disambut oleh zaujahnya,
Ustazah Hasanah.Kami dihidangkan dengan air teh dan biskut.Ustaz Syahmi muncul
selang beberapa minit kemudian. “Begini, Amarlina. Ana menerima amanah daripada
seorang anak murid ana.Dia meminta ana bertanyakan kepada anti.Adakah anti
sudah ada yang berpunya?”Ustaz Syahmi memulakan perbualan sambil berjalan ke
kerusi.“Maksud ustaz?” aku kelirudan bertanyakan penjelasan daripada
beliau.“Maksud ana, adakah anti sudah ada calon zaujun?Kalau belum, anak murid
ana ingin menyuntingmu”, terang Ustaz Syahmi.Aku terkejut mendengar berita
tersebut.Sambil menjamah biskut, aku tersedak.Kak Anis menghulurkan secawan teh
kepadaku sambil tersenyum. “Sss..siapa ustaz?” aku bertanya kembali kepada
beliau. Sebenarnya, aku masih belum mempunyai calon zaujun.Tumpuanku pada waktu
ini hanyalah pada pengajianku.Aku ingin menggenggam segulung ijazah buat ummi
dan walid.
“Nama anak itu…Nik Khairul Amran.Qari yang anti minta
ana carikan dulu…” jawab ustaz.
Apa??? Akhi Amran? Benarkah dia yang telah melamarku
melaui Ustaz Syahmi?Aku tidak percaya.Pelik dan ajaib.Aku meminta kepada Ustaz
Syahmi untuk memberikan kepadaku tempoh 3 hari untuk berfikir.Sepanjang 3 hari
itu, perasaanku jadi kacau.Fikiranku bercelaru.Hatiku pula jadi tidak keruan
memikirkannya.Setiap kali selesai solat, aku sentiasa meminta petunjuk daripada
Allah S.W.T. Solat istikharah turut kudirikan.Aku memaklumkan hal ini kepada
ummi dan walid di rumah.Mereka menyerahkan segala-galanya kepadaku.Aku
bertambah buntu.
Pejam celik, pejam celik, tempoh 3 hari sudah
tamat.Aku pergi semula ke rumah Ustaz Syahmi.Kali ini bukan setakat dengan kak
Anis.Malah, aku membawa seluruh isi rumahku. Sesampainya kami di sana, akhi
Amran dan beberapa lagi anak murid Ustaz Syahmi sudah tiba. Gementar aku
jadinya.Aku perlu membuat keputusan yang rumit, mengenai jodohku sendiri.
Kumulakan ucapanku dengan kalimah, “Bismillahirrahmanirrahim”
“Ana harap keputusan yang ana buat tidak mengguris
hati mana-mana pihak.Ana, Nur Amarlina Mumtazah binti Zainal Abidin dengan rasa
rendah diri, menerima lamaran akhi Nik Khairul Amran.Tetapi, dengan satu syarat
iaitu setelah ana tamat pengajian di sini. Sepanjang tempoh ini, akhi Amran
diberi kebebasan sama ada untuk setia dengan ana atau mencari orang lain.
Wallahua’lam”, ayatku disusun dengan perlahan dan penuh tertib.
Semua yang hadir mengucapkan kalimah
“Alhamdulillah”.Menandakan rasa syukur ke hadrat Ilahi.Ini adalah keputusan yang
paling berat untuk kuputuskan dalam hidup.Akhi Amran dengan tenang menerima
syarat yang aku tetapkan. Katanya, dia akan cuba sedaya-upaya untuk setia
denganku. Tidak kusangka, kerana mencari seorang calon qari, aku menemui calon
suami. “Akhi Amran, kerana Al-Furqan, aku menerima lamaranmu…”
Syukran, bakal zaujunku!
Subscribe to:
Posts (Atom)



