Search This Blog

Sunday, 31 March 2013

“Syazwan, Ceritaku”





     Namaku Syazwan. Anak sulung daripada 3 orang adik-beradik.Usiaku awal 30-an. Inginku ceritakan satu kisah tentang diriku.Diharapkan dapat menjadi tauladan dan iktibar.Kisah ini berlaku beberapa tahun yang lalu.Bermula di sebuah desa kecil.Nun jauh di utara tanah air.
Kampung Tanjung, Jeneri, Kedah
Di kampung inilah tempat aku dan dua lagi adikku membesar.Ibuku telah berpisah dengan ayahku.Mereka telah bercerai.Aku masih ingat lagi.Pada waktu itu, usiaku baru 8 tahun.Selepas berpisah, di kampung inilah tempat kami menetap.Kampung ini merupakan kampung atuk dan nenekku.Ibu dan bapa kepada ibuku.Ibuku yang pada waktu itu bergelar janda anak tiga telah bekerja di sebuah kilang berdekatan dengan kampung untuk menyara hidup kami adik-beradik.Atuk dan nenek sudah tua.Mereka tak larat.Atuk kemalangan sewaktu menjadi tentera dahulu.Kakinya patah.Atuk hanya mengambil upah membuat jala di rumah.Nenek pula, sering diserang penyakit lelah.Nenek tak boleh buat kerja yang berat-berat.Tapi, nenek sangat pandai buat kuih.Nenek selalu mendapat tempahan untuk membuat kuih dari jiran-jiran.Nenek hanya buat sekadar yang termampu sahaja.Aku tahu, sebagai anak sulung, aku perlu belajar rajin-rajin.Aku perlu jadi contoh untuk adik-adik.
Selang beberepa tahun selepas itu, ibu memberitahuku dan adik-adik yang ibu mahu kahwin lagi.Sejak ibu dan ayah berpisah, ayah jarang menelefon kami untuk bertanyakan khabar.Duit pun sekali-sekala sahaja diposnya.Ayah dah mula lari dari tanggungjawabnya terhadap kami adik-beradik. Ibu ada cakap yang ayah sudah kahwin lain. Ayah kini tinggal dengan isteri barunya di Pulau Pinang. Cadangan ibu untuk berkahwin lagi disokong oleh atuk dan nenek.Adik-adik yang masih kecil dan tidak tahu apa-apa hanya seronok. Mereka seronok kerana akan dapat ayah baru. Tapi aku?Apa perasaan aku? Memang, anak sulung suka memberontak.Aku merajuk beberapa hari.Aku tidak bercakap dengan ibu selama beberapa hari itu.
Satu hari, ibu cuti.Ibu bercadang untuk membawa aku dan adik-adik makan KFC di Alor Star.Ibu negeri Kedah.  “Mungkin ini cara mak nak pujuk aku”, dugaku. “Mak tau, Wan tak cakap pun dah tau. Wan tak suka mak kahwin lainkan?” soalan itu keluar dari mulut ibu. Aku terdiam.Benar kata orang, naluri seorang ibu sentiasa benar.Seorang anak tidak boleh menipu ibunya.“Memang! Wan tak suka mak kahwin lain. Nanti mak tak sayang kami lagi!” balasku pula.Adik-adik leka meratah ayam KFC.Hari itu mak baru dapat gaji.“Siapa kata mak tak sayang anak-anak mak?Mak sayang semua anak-anak mak.Abah baru tu baik. Dia mesti sayang dekat Wan dengan adik-adik…” Kata-kata ibu ketika itu membuatkan aku akur.Aku bersetuju dengan keputusan ibu, asalkan aku, ibu dan adik-adik bahagia.
Ibu ada cerita yang bakal ayah baru aku nanti, seorang duda.Dia mempunyai empat orang anak.Dua daripada anak-anaknya sedang belajar di Sekolah Berasrama Penuh.Dia juga telah berpisah dengan isterinya.Sama macam ibu.Keempat-empat anak-anaknya tinggal dengannya. Kalau ibu jadi berkahwin nanti, bermakna aku akan mempunyai 7 orang adik-beradik. Kata ibu lagi, bakal ayahku itu seorang yang baik hati.Dia tidaklah sekaya mana.Dia bekerja sebagai seorang makenik.Dia bekerja sendiri. Tetapi, dia sudah berjanji pada ibu untuk sedaya-upaya memberikan kemewahan dan kebahagiaan kepada kami dengan apa adanya. Bagiku, kemewahan itu tak penting.Yang paling penting, kasih sayang seorang ayah.Akhirnya, ibu telah selamat diijabkabulkan.Bermula daripada detik itu, aku dan adik-adik perlu ikut ibu dan ayah baru kami pulang ke rumahnya di Bandar Baru Beris Jaya. Bermula saat itu juga, segala-galanya bermula…
Bandar Baru Beris Jaya, Sik, Kedah
Kini, aku sudah ada ayah semula.Urusan pertukaran sekolahku dan adik-adik semuanya dibuat oleh ayah baruku yang aku panggil ‘abah’.Aku agak kekok pada mulanya untuk bertegur sapa dengan abah.Riak mukanya kelihatan garang.Dengan misai.Tak ubah seperti Sarjan Misai.Takut juga aku dibuatnya.Aku dan adik-adik terpaksa berkongsi bilik dengan 2 orang anak lelaki abah.Abah mempunyai 2 anak lelaki dan 2 anak perempuan.Anak sulungnya kupanggil kakak. Kakak Zarina. Baik orangnya.Wajahnya juga cantik seperti ibu kandungnya.Ibu kandung mereka sering ke rumah untuk melawat anak-anaknya.Ibu kandung mereka turut kupanggil ‘mak’.Baik seperti ibuku.Anak abah yang kedua pula, kupanggil abang. Abang Zaidi. Aku tak berapa suka dengan perangainya.Dia suka mengadu pada ibuku jika aku membuat salah. Akibatnya, aku yang akan dimarahi. Kakak Zarina dan abang Zaidilah yang belajar di Sekolah Berasrama Penuh.Mereka pandai, sama seperti 2 lagi adik mereka. Adik tiriku.Seorang belajar di darjah 5.Kupanggilnya Bang Chik.Seorang lagi, Aisyah, belajar di darjah 1.Kedua-dua mereka selalu mendapat tempat pertama dalam ujian di sekolah.Anak-anak abah semuanya pandai-pandai.Lain pula denganku.Aku tak berapa pandai.Lembab.Sering mendapat tempat tercorot dalam kelas.Kalau di rumah, ibu selalu memarahiku.Katanya aku hanya suka main saja.Abah ada juga menasihatiku.Katanya, aku perlu belajar rajin-rajin.Dapat keputusan yang cemerlang seperti kakak dan abang tiriku.Perkara inilah yang aku tidak suka.Mesti ada perbandingan antara aku dan adik-adik dengan saudara-saudara tiri kami.Kadang-kadang aku mengeluh.
Setelah keputusan UPSR diumumkan, aku mendapat 2B 3C. Itulah saja keputusan yang mampu kelakarkan di slip keputusanku. Seharian aku mendengar leteran ibu.Tidak cukup dengan itu, abah pula menyambung.Katanya aku tak seperti kakak dan abang tiriku.Sekali lagi aku disbanding-bandingkan.Untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah, abah telah membuat keputusan untuk menghantarku ke SMK Seri Enggang.Sekolah menengah harian yang berhampiran dengan rumah.Katanya, aku perlu tinggal di asrama.Aku akur dengan keputusannya.
SMK Seri Enggang
Di sekolah inilah aku menunjukkan siapa diriku yang sebenar.Sekolah ini memang terkenal dengan pelajar-pelajarnya yang nakal.Pelajar yang mendapat keputusan yang kurang baik semasa UPSR kebanyakannya melanjutkan pelajaran di sini.Aku mula berkawan dengan kawan-kawan yang sering membuat masalah.Mereka ada juga mengajakku untuk ponteng kelas.Pada mulanya, aku enggan.Selepas beberapa kali didesak, akhirnya aku sudah terikut-ikut dengan mereka.Kami menghabiskan masa di Cyber Café di hadapan sekolah. Kemudian, aku mula diperkenalkan dengan  rokok. Seperti biasa, mulanya aku menolak.Tetapi, kata kawanku rokok dapat mengurangkan tekanan belajar.Sekali lagi aku terikut-ikut dengan kata-kata mereka.Sekalipun perbuatan kami tidak dapat dihidu oleh guru-guru.Setiap kali cuti pulang bermalam, aku menyembunyikan sikapku itu.Ada juga aku berasa ketagih untuk merokok, tetapi aku tahan.Sebelum pergi ke sekolah, abah akan memberikanku duit belanja bulanan. Aku pasti akan meminta duit lebih.
“Abah, nak duit lebih sikit.Cikgu suruh beli buku rujukan.Lepas tu, nanti ada tuisyen malam.Kena bayar duit lagi”, bohongku.Tanpa soal lanjut, abah memberikan saja duit lebih seperti yang ku minta.Abah menghulurkan RM100 kepadaku.Aku hanya tersenyum.
Semasa di Tingkatan 3, aku mula terjebak dengan penyakit ‘cinta monyet’. Memang, aku tahu aku akan mengambil peperiksaan penting pada tahun ini iaitu PMR. Namun, aku berasa tercabar tatkala melihat kawan-kawanku semuanya sudah ada pasangan masing-masing.Mereka melayan pasangan mereka seperti pasangan kekasih yang sedang bercinta.Aku mula tertarik dengan seorang pelajar perempuan di kelasku. Namanya Lina. Dimataku, dia cukup cantik. Kami sering berbalas-balas surat. Pelajaranku sudah mulai terabai.
Pada suatu hujung minggu, aku menelefon abah untuk meminta duit lagi. Aku memberitahunya yang sekolah akan mengadakan kem untuk pelajar-pelajar Tingkatan 3. Tengah hari itu juga abah menghantar kepadaku.Sebenarnya, aku dan kawan-kawan telah merancang untuk berjalan-jalan di Sungai Petani.Setiap orang mempunyai pasangan masing-masing. Pasanganku, Lina. Tidak sangka, dalam keasyikan kami bergelak-tawa di sana, kami telah terserempak dengan seorang guru disiplin di sekolah, Cikgu Wahab. Kami terserempak dengannya di Village Mall.Akhirnya, semuanya telah terbongkar.Pada hari sekolah, kami semua dipanggil ke bilik pengetua.Kami dituduh telah melanggar peraturan asrama.Yang paling mengejutkanku, ibu bapa kami dipanggil juga. “Habis aku kali ni!” aku bermonolog sendirian.
Apabila sampai saja ibu dan abah ke bilik pengetua, “Paannggg!!!”Aku ditampar dengan kuat sekali oleh abah.Semua orang yang ada di bilik pengetua terkejut.Mereka terdiam.Aku tenang menerima tamparan itu kerana sudah kuduga.Aku memang pantas ditampar.Aku sudah menconteng arang di muka ibu dan abah.Pelajar-pelajar yang terlibat digantung sekolah selama seminggu.Sampai saja di rumah, ibu terus meleteriku.“Wan, Wan! Apala nak jadi dengan hang ni. Aku ingat hantar hang duduk kat asrama boleh jadi elok. Kalau macam ni hang pi tinggal dengan pak hang lah kat Pulau Pinang. Nak?” marah ibu.Aku keras membatu.
Selepas kejadian itu, abah membuat keputusan untuk menghantarku kepada ayah kandungku di Pulau Pinang.Ibu setuju. Aku disuruh tinggal bersama keluarga baru ayah di sana. Buat kali kedua, aku akur dengan keputusan abah. Abah sendiri menghantarku ke sana dengan ibu. Urusan pertukaran sekolah telah dibuat.
Apartmen Mutiara, Pulau Pinang
Di sinilah aku tinggal dengan ayah kandungku.Pada mulanya, ayah tidak mahu menjagaku.Namun, setelah didesak oleh ibu dan abah, dia terpaksa setuju.Selama tinggal di sini, ayah tidak sekalipun menunjukkan kasih sayangnya padaku. Ayah tidak pernah menanyakan perkembangan pelajaranku. Tambahan pula, tidak lama lagi aku akan mengambil peperiksaan PMR. Ibu tiriku pula, asyik sibuk menjaga anaknya.Aku hanya memendamkan saja keluhanku di dalam hati.
Tiba-tiba…
*                                                               *                                                                        *
“Ayah….bangun.mama suruh bangun. Dah Maghrib!” suara kecil Alisya mengejutkanku.Alisya anak sulungku.Anak daripada hasil perkahwinanku dengan seorang wanita yang kucintai, Kamilia.Aku ketiduran setelah pulang dari kerja tadi.Keletihan.Aku kini sudah memiliki sebuah keluarga yang bahagia.Hidupku kini cukup sempurna.Bagaimana aku berubah?Siapa yang mengubahku?
Sebenarnya, selama aku tinggal dengan ayahku, aku telah berkenalan dengan seseorang.Abang Kamal.Dia seniorku di sekolah.Rumahnya hanya selang beberapa tingkat dari rumahku.Di sekolah, dia cukup terkenal dengan kebaikan dan kepintarannya.Dialah yang selama ini menolongku.Dialah yang selama ini memberi dorongan kepadaku untuk berjaya.Dia selalu membantuku dalam pelajaran. Dia juga mengajarku untuk menghormati ibu bapa, sama ada ibu bapa kandung atau tiri. Kini, aku bekerja dengannya di syarikat milik ayahnya.Aku dilantik menjadi pengarah pemasaran.Jawatan yang agak tinggi di syarikat itu.Dalam hatiku, aku amat menyayangi ibu dan ayah kandungku serta ibu dan ayah tiriku.Terima kasih abah atas tamparan yang telah mengubah hidup Wan.Terima kasih juga abang Kamal yang sudi menolongku. Aku percaya, tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada insan berdosa yang tidak mempunyai masa depan.

No comments:

Post a Comment